Wednesday, November 28, 2012

Galah Panjang



Permainan tradisional yang dimainkan diluar rumah. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak sahaja tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta kebudayaan kadangkala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa.



Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja.



Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.



Sebelum permainan dimulakan undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.

Saturday, November 24, 2012

Guli


Permainan guli ialah melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun. 



Jumlah pemain tidak melebihi lima orang. Kawasan tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli.



Biji guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki.


Monday, November 19, 2012

Batu Seremban



Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Sering dimainkan di waktu lapang.
Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan sama ada secara individu atau berpasangan. Ianya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.



Biasanya ia menggunakan guli kaca, biji getah, ketul batu yang kecil atau ketulan-ketulan objek lai berbentuk bulat. Bilangan yang biasa digunakan sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.


Friday, November 16, 2012

Tarian Limbai



Tarian ini adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin.



Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab qabul yakni pernikahan.



Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin naik ke rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.

 

Thursday, November 15, 2012

Alat Muzik Tradisional India - Tabla




Tabla adalah sejenis alat muzik tradisional yang sangat  terkenal dalam masyarakat kaum India.Alat ini dikatakan berasal dari gendang Mridangam.Tabla mempunyai sepasang gendang iaitu Sidda (gendang kecil) dan Dagga (gendang besar) yang ada satu muka masing-masing.Badannya dibuat daripada kayu jati, rosewood dan jackwood.Kulit kambing ditampal pada permukaan tabla untuk menghasilkan bunyi irama yang indah.


Tabla ialah sejenis alat perkuasi dalam ensembel muzik tradisional india yang dimainkan secara solo atau mengiringi upacara keagamaan, persembahan,barathanatyan, perkahwinan dan sebagainya.


 

Wednesday, November 14, 2012

Gasing




Gasing popular di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutama di Kelantan.



Terdapat pelbagai jenis gasing di Malaysia seperti gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.



Kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.  

Alat Muzik Tradisional Sarawak - Sape



Sape adalah sejenis alat muzik tradisional yang berbentuk gitar yang berasal dari Sarawak dan Kalimantan iaitu tengah Kepulauan Borneo. Alat muzik ini sering digunakan oleh kaum etnik Kenyah, Kayan, Iban, Dayak dan Kelabit.



Alat muzik ini diperbuat dari kayu lembut seperti Meranti.Alat muzik ini dapat mengalunkan irama yang mengasyikkan sesuai dengan latar belakang hutan tropika di Borneo.Antara pemuzik Sape yang terkenal adalah Jerry Kamit.




Pada asalnya, alat muzik Sape ini dimainkan untuk upacara ritual  dirumah panjang. Namun setelah mengalami perubahan masa, ia telah berubah menjadi alat muzik untuk hiburan dan kegiatan sosial seperti iringan untuk tarian tradisional etnik Kepulauan Borneo seperti Ngajat dan Datun Julud .


Gubahan muzik oleh alat ini divariasikan mengikut acara-acara keramaian tertentu seperti perkahwinan, kelahiran, pesta menuai serta selalunya diturunkan daripada generasi lama ke generasi baru.Alat muzik ini telah diberi perhatian daripada penggemar muzik tradisional kerana alunan melodi yang tenang dan mengasyikkan ini. Malah, inovasi terbaru iaitu Sape elektrik juga telah dicipta untuk menarik generasi muda bermain alat muzik ini.